penduduk Tripoli rai kejayaan kejatuhan rejim Gaddafi |
Pemberontak berjaya menawan ibu kota Libya,Tripoli dengan mudah atas bantuan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli itu sendiri.
Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.
Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.
3 orang anak Gaddafi turut ditahan. Mereka adalah Mohammed Gaddafi, Saif al-Islam,dan Saadi Gaddafi. Walau bagaimanapun, Mohammed berjaya melarikan diri dari tahanan.
Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.
Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.
Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.
Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.
Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.
Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.
Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.
Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.
Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.
Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.
Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Komen dari kalian amat dialu-alukan tetapi jagalah adab berbahasa semasa komen.