Cinta adalah fitrah bagi setiap manusia. Dengan cinta kita kenal siapa Pencipta kita, saudara kita,keluarga kita dan seterusnya pasangan hidup kita.
Kalau nak dihurai makna cinta, memang takkan habis hatta sejuta tahun diberi peluang untuk huraikan erti cinta,pasti takkan cukup.
Cinta adalah satu benda subjektif, terpulang pada diri masing-masing untuk menilai & mentafsirnya. Dalam hidup dunia akhir zaman ni, persoalan cinta atau istilah mudah couple memang sesuatu yang sukar dielak. Manis diucap di mulut tapi derita hati kadang-kala membuat kita ingin disayangi dan dihargai.
Persoalan hukum cinta rasanya sudah puas diperdebatkan. Ada yang menyatakan haram, ada yang kata harus dan ada yang kata wajib. Yang penting bagaimana cara nak uruskan cinta, sudah cukup untuk menilai sejauh mana hanyutnya manusia dengan cinta.
Kalau nak bicara dari aspek agama Islam,penulis sendiri bukanlah seorang golongan ulama dalam mengulas isu ini. Tapi apa yang mampu penulis katakan dan faham, cinta ibarat pisau. Kalau pisau digunakan dengan baik,baiklah hasilnya tapi kalau untuk membunuh, matilah manusia itu.
Ramai orang beranggapan cinta itu terlalu negatif dek kerana si pelakunya. Cinta ditafsirkan sebagai berpegangan tangan, berciuman, meraba sana-sini, melafazkan depan orang ramai, bercuit-cuitan dan sebagainya sehinggakan cinta dilihat sebagai sesuatu yang kotor.
Memang indah hidup bercinta apatah lagi berpegang sana-sini namun pengakhiran, belum pasti bahagia. Sandaran cinta terhadap seseorang seharusnya disusuli dengan niat kita,tak lain tak bukan kahwin. Kalau cinta hanya untuk suka-suka, itu bukan cinta namanya tapi tuntutan nafsu bawahan.
Lelaki ibarat kumbang dan perempuan ibarat bunga. Kalau si kumbang terlalu ghairah menghisap madu si bunga, itu bukan kumbang yang baik. Mengapa? Kerana kumbang tadi hanya menggunakan si bunga tadi untuk kepuasan dirinya. Akhirnya, kumbang yang kenyang bunga yang layu.
Itulah tafsiran sebenar realiti cinta. Kalau perempuan terlalu mudah serahkan mahkota hatta kulitnya untuk dibelai, si lelaki akan terus cuba untuk mencari mahkota yang lebih tinggi. Dan akhirnya apabila perempuan terperangkap dan serahkan segala mahkotanya, maka apa lagi yang lelaki inginkan selepas puas dia mendapatnya?
Teringat hadis mengenai hukum memegang tangan wanita bukan muhrim:
“Bergerombolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan(secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahramnya.” Riwayat Ibnu Majah
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya." (HR At-Tabrani dan Baihaqi)
Jangan dihisap madu itu sebelum ia sah menjadi milik kita.Dalam bercinta,jagalah setakat mana yang termampu. Nikmat madu itu nyaman apabila tiba masanya nanti yakni kahwin.
*karya asli milik aku. turut diletakkan dalam blog Studiokini Media.sekadar pandangan peribadi
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Komen dari kalian amat dialu-alukan tetapi jagalah adab berbahasa semasa komen.