Hai orang-orang yg Beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu( Al-hujuraat : 6 )

Thursday, June 9, 2011

Hafiz Didik Nur One, Aidil Kembali


Hafiz Hamidun, nama yang sudah terlalu sinonim dengan keindahan bait di setiap lagu gubahannya khususnya dalam penciptaan lagu berunsurkan nasyid. Kini, komposer muda kelahiran Perak ini menerbitkan empat buah produk nasyid terbaru iaitu album Nowseeheart (Kembali), Nur One (Kau Terhebat), Aidil (Cuba) dan Varianz (Dunia Baru).

Baru-baru ini, satu pelancaran album untuk keempat-empat album tersebut telah diadakan di Restoran Puteri, TTDI. Dikesempatan ini, Gua berpeluang mendekati dua kumpulan nasyid naungan syarikat rakaman Hafiz Hamidun, Arteffects iaitu kumpulan Nur One dan Aidil. Mari kita mengenali mereka ini dengan lebih dekat lagi.

NUR ONE


Nama Nur One merupakan nama yang masih baru dalam industri muzik nasyid tempatan. Kumpulan nasyid yang dibarisi empat penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UITM) ini merupakan anak didikan Hafiz Hamidun. Berikut adalah butiran lanjut anggota kumpulan Nur One ini :

Ahmad Asyraf Yaacob, berusia 23 tahun. Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Jurusan Pengurusan Hartanah di UITM, Shah Alam. Bersama 2 lagi rakan sebaya yang menuntut di jurusan dan universiti yang sama iaitu Muhammad Tawfik Khar dan Syafiq Hady, kedua-dua mereka berasal dari negeri Selangor.

Manakala seorang lagi anggota kumpulan Nur One iaitu Yusoff Arifin. Anak muda berusia 25 tahun ini merupakan pelajar Jurusan Perakaunan di Universiti Teknologi Malaysia (UITM) cawangan Melaka.

Bermula setahun yang lalu pada Mei 2010, kumpulan anak muda NUR ONE ini telah ditawarkan menjadi anak didik Hafiz Hamidun selepas dikesan bergiat aktif dalam nasyid di peringkat kebangsaan, negeri, IPTA dan IPTS.

“Abang Hafiz tawarkan kami untuk menjadi anak didik dia ketika pertama kali kami berjumpa di sebuah konsert di Kubang Kerian. Selepas itu, kami hantar kaset ‘demo’ dan sekitar hujung 2010, NUR ONE masuk ke studio untuk merakamkan sebuah album penuh.”

Disebabkan minat yang mendalam dalam nyanyian nasyid sejak kecil lagi memungkinkan 4 orang anak muda ini meneruskan perjuangan dalam industri nasyid biarpun terpaksa bersaing dengan kemunculan pelbagai artis-artis baru luar negara. Harapan mereka album ini mendapat respon yang positif dari semua pihak khususnya dapat mendidik anak remaja ke arah yang lebih baik.

“Kami berharap pendengar dan masyarakat dapat terima mesej yang kami ingin sampaikan. Selain itu juga, kami mengharapkan mesej yang berunsurkan motivasi ini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap nasyid sekaligus mendidik remaja dari terlibat dengan gejala-gejala yang tidak bermoral.”

Album yang memakan masa setengah tahun sejak bulan September hingga Disember tahun lepas ini mengandungi 8 buah lagu, 5 buah lagu ciptaan Hafiz Hamidun manakala 3 buah lagu ciptaan salah satu ahli kumpulan, Asyraf. Lagu-lagu bergenre Pop R&B yang berunsurkan ketuhanan, motivasi, Rasulullah s.a.w dan lain-lain milik Nur One ini sesuai untuk segenap lapisan masyarakat.

AIDIL


Suatu ketika dulu, kumpulan nasyid ini pernah mendapat tempat di hati kalangan peminat nasyid tempatan. Menggunakan nama Ideal, kumpulan nasyid ini merakamkan album sulung mereka pada tahun 2003 yang berjudul, Bukalah Hatimu.

Setelah beberapa tahun menyepi, kini mereka kembali mewarnai dunia nasyid dengan memberi kelainan melalui proses "rebranding" ataupun penjenamaan semula dengan menggunakan nama AIDIL, dan berada di bawah pengurusan baru iaitu Arteffects Production milik komposer yang sedang meningkat naik, Hafiz Hamidun.

Di majlis yang sama, Gua berkesempatan menemui kumpulan nasyid,Aidil dan bertanyakan lebih lanjut tentang ‘kelahiran’ kembali kumpulan ini dengan album kedua mereka, Cuba.

“Sebenarnya ketika itu, kami lebih fokus pada karier sendiri dan pelajaran memandangkan beberapa ahli Ideal sedang menduduki tahun akhir di kampus. Disebabkan penyepian yang agak lama itu,nama Ideal terpaksa di ‘rebranding’. Kami tetap sama seperti yang dahulu, cuma penampilan yang serba baru, pertambahan ahli baru serta konsep dan irama lagu yang lebih segar menyebabkan penukaran dari Ideal kepada Aidil.”

Bermula dengan lagu ‘Ku Yakin Berlaku’ dan lagu ‘Cuba’ milik Aidil yang termuat dalam album kompilasi 12 Cinta, ternyata kepopularan dua buah single tersebut memang tidak dapat disangkal lagi.

Lagu Ku Yakin Berlaku dendangan kumpulan Aidil yang menjadi tema untuk telemovie khas AidilAdha di Astro Oasis,‘Ku Yakin Berlaku’ telah menjadi juara selama sepuluh minggu di carta IKIM FM. Manakala, lagu ‘Cuba’ juga telah mendapat sambutan yang memberangsangkan selepas menjadi juara dan naib juara untuk Carta IKIM FM serta menjadi lagu tema untuk drama siri, Keranamu Laila di slot Zehra,TV3.

Aidil dianggotai oleh 5 vokalis bersuara merdu iaitu Syamsul Izzudin Bin Alin selaku ketua kumpulan, Mohd Fadzli Abdullah dan Jasminor Abdullah selaku ahli lama, manakala Hafrul Idzwan Mohd Isa dan Shahril Bin Mohamed Nazri selaku ahli yang baru.

Album terbaru bergenre Pop ini mengandungi 8 buah lagu termasuklah 6 buah lagu baru dan 2 buah lagu single. Lagu-lagu baru ini sesuai dengan penerimaan peminat nasyid masa kini yang sukakan muzik yang segar dan lebih santai.

“Selepas ini, InsyaAllah kami akan lebih fokus dalam mengerakkan album kedua ini. Kami akan mengadakan ‘road tour’ sebagai promosi bagi menyingkap kembali nostalgia lama peminat yang selama ini menunggu kemunculan album terbaru dari kami. Selain itu, kami akan lebih tertumpu ke kampus-kampus termasuklah IPTA dan IPTS kerana permintaan nasyid yang sangat banyak dari remaja kerana lagu-lagu yang baru ini lebih ‘rileks’.”

Jadi, kepada peminat lagu berirama nasyid yang ingin mengetahui lagu-lagu terbaru milik Nur One dan Aidil, jangan lepaskan peluang membeli album Kau Terhebat, Nur one dan Cuba, Aidil di pasaran.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Komen dari kalian amat dialu-alukan tetapi jagalah adab berbahasa semasa komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...